Majlis Ikrar dan Pendaftaran Ikhtisas Kedoktoran Veterinar serta Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar FPV

KOTA BHARU 29 November I Graduan Doktor Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mencatatkan100 peratus kadar kebolehpasaran graduan menerusi pelbagai bidang kepakaran veterinar sama ada di sektor kerajaan dan swasta.

Dekan Pusat Pengajian Siswazah UMK, Prof. Dr. Mohd Rosli Mohamad, kadar kebolehpasaran itu menunjukkan permintaan tinggi terhadap graduan dalam bidang professional veterinar dan ianya memberi peluang jaminan kerja besar kepada pelajar dalam bidang ini.

Beliau berkata, UMK pada tahun ini melahirkan seramai 45 orang graduan Doktor Perubatan Veterinar dan dengan penambahan ini akan meningkatkan serta boleh menampung keperluan veterinawan yang kompeten dan berwibawa di negara ini.

“Sehingga kini, UMK telah berjaya menghasilkan seramai 313 orang Doktor Perubatan Veterinar sejak tahun 2014. dan mereka ini telah menabur jasa dalam sektor kerajaan, badan berkanun dan swasta untuk bidang perubatan veterinar.

“Bertepatan dengan moto UMK, ‘Entrepreneurship is our thrust’ transformative, entrepreneurial, excellent telah membuka jalan kepada alumni untuk menceburi bidang perniagaan yang merangkumi dalam bidang perubatan veterinar seperti klinik dan ladang, juga dalam bidang bukan veterinar seperti perniagaan hartanah dan kecantikan.

“Terdapat juga sebahagian daripada alumni UMK menabur khidmat bakti dengan menjadi tenaga pengajar di Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dalam kepakaran masing-masing,” katanya pada ucapan aluan yang mewakili Menjalankan Fungsi Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, sempena Majlis Ikrar dan Pendaftaran Ikhtisas Kedoktoran Veterinar serta Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar FPV, di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, pada 28 November 2021.

Pengisytiharan 45 graduan FPV UMK sebagai ahli Ikhtisas Kedoktoran Veterinar Malaysia telah diumumkan oleh Pendaftar Majlis Veterinar Malaysia (MVM), Dr. Akma Ngah Hamid

Turut hadir, Presiden Majlis Veterinar Malaysia, Dato’ Dr. Norlizan Mohd Noor dan Timbalan Dekan (Akademik Dan Pembangunan Pelajar), Dr. Sandie Choong Siew Shean.

Sementara itu, Prof. Dr. Mohd Rosli berkata UMK telah berjaya mendapatkan sejumlah peruntukan untuk membina satu (1) Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar di Kampus Bachok di atas tanah seluas 36 ekar dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.

Katanya, kompleks ini yang dilengkapi dengan bangunan akedemik, makmal pengajaran dan klinik,

“Dengan mempunyai kelengkapan sebegini, pihak universiti menjangkakan peningkatan pengambilan pelajar perubatan veterinar.

“Kemudahan dan fasiliti ini akan menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran perubatan veterinar yang kondusif, selesa dan menepati kriteria Majlis Veterinar Malaysia bagi memberi impak yang tinggi kepada kualiti graduan program perubatan veterinar,” katanya.

Menurut Dr. Sandie Choong Siew Shean, majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik FPV 2021 diadakan bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang graduan Doktor Perubatan Veterinar tahun 2021.

“Pada tahun ini, sebanyak 19 kategori anugerah kecemerlangan ditaja oleh 17 rakan-rakan industri dan persatuan profesional veterinar dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM 30,950.

“Pihak universiti dan fakulti ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan strategik industri dan persatuan profesional veterinar yang telah menyumbang anugerah yang berprestij ini sejak tahun 2014.

“Melalui majlis penganugerahan ini akan memberi semangat dan motivasi kepada graduan untuk meneruskan kecemerlangan di masa hadapan dan seterusnya, menyumbang bakti kepada pengembangan profesi veterinar di Malaysia,” katanya.